VIDEO PROMOSI PROGRAM TEKNOLOGI SUMBER HUTAN

Video merupakan satu medium promosi yang mampu memberi impak yang besar bagi sesebuah organisasi, syarikat atau persendirian. Peranan video promosi  adalah untuk menyampaikan atau mewar-warkan kepada masyarakat akan sesuatu program dan  aktiviti serta memperkenalkan sesebuah badan, institusi atau perniagaan yang baru diwujudkan.  Pada zaman millennia ini peranan video menjadi lebih menarik dan meluas apabila cara penghasilan video ini dipermudahkan dengan menjadi lebih mesra pengguna.

Kewujudan pelbagai jenis aplikasi video pendek berdurasi beberapa saat di media sosial seperti TikTok, Dubsmash, Triller, video Instagram  dan beberapa aplikasi yang lain merupakan penyebab utama fenomena ini terjadi. Kewujudan aplikasi seperti ini membuatkan masyarakat terutamanya golongan muda dan pertengahan menjadi lebih berani dan kehadapan dalam menonjolkan bakat serta keupayaan mereka untuk dipertontonkan kepada seluruh dunia. Salah satu kelebihan aplikasi ini adalah membuka ruang kepada golongan muda untuk mengasah bakat mereka dan menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menyampaikan idea dan mengekspresikan diri. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah memuat naik aplikasi tersebut di telefon bimbit, mencari idea kreatif dan segar serta berani menzahirkanya di media sosial. Aplikasi video pendek seperti ini tidak menggunakan sebarang kos menyebabkan ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dan durasi masa yang singkat juga menjadikan video-video ini tidak membosankan dan mudah menarik minat penonton.

Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan tidak lari daripada menghadapi cabaran dalam menarik minat para pelajar untuk memilih program-program pengajian yang  ditawarkan. Mengambil iktibar daripada kecenderungan generasi muda kepada video sebagai medium promosi terhadapat apa jua perkara, pihak Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi telah mengambil inisiatif dengan menawarkan kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam penghasilan video promosi bagi program pengajian masing-masing.

Program Teknologi Sumber Hutan (SEH) telah berjaya menghasilkan satu video promosi hasil kerjasama diantara para pelajar Tahun 4 dan alumni SEH di bawah bimbingan beberapa orang pensyarah program tersebut.   Dua buah video berdurasi 11 saat dan 4 minit telah dimuatnaik di instagram dan facebook fakulti dan telah mendapat pelbagai reaksi positif daripada penonton. Sesuatu yang amat membanggakan apabila para pelajar dapat menggunakan kursus-kursus yang dipelajari di SEH dan menterjemahkan pengetahuan tersebut ke dalam bentuk video yang ringkas, menarik dan kreatif. Bakat dan kebolehan para pelajar patut dihargai dan diraikan kerana mereka lebih mengetahui dan memahami citarasa sesama generasi muda dan membolehkan video promosi ini lebih cepat sampai kepada masyarakat di luar sana.

Disertakan di sini pautan video tersebut untuk tontonan semua pembaca. Pihak fakulti mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama terbaik yang diberikan oleh para pelajar yang terlibat iaitu Aqilah Binti Abdul Rahim, Nur Hafizzah binti Jusoh, Muhammad Safiy Syazani Bin Sukri, dan Nur Wahidah Binti Mohd Nawawi, yang merupakan pelajar Tahun 4 serta Nurul Ainnabilah Binti Mohd Rosdi dan Syazrol Bin Omar yang merupakan alumni SEH.

Disediakan oleh: Dr Nurul Akmar Che Zaudin